Perlembagaan Bagi Pertubuhan Induk Persatuan Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Intan Zaharah Dungun Terengganu (Alumni IZ)


PERLEMBAGAAN BAGI
PERTUBUHAN INDUK
PERSATUAN ALUMNI SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN TENGKU INTAN ZAHARAH DUNGUN TERENGGANU (ALUMNI IZ)
(PPM-009-11-30062019)
 
FASAL 1 NAMA
(1) Pertubuhan ini dikenali dengan nama

PERSATUAN ALUMNI SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN TENGKU INTAN ZAHARAH DUNGUN TERENGGANU (ALUMNI IZ)

Selepas ini disebut "Pertubuhan".
(2) Takrif Nama : PERSATUAN BEKAS PELAJAR, GURU DAN STAF SEKOLAH

MENENGAH KEBANGSAAN TENGKU INTAN ZAHARAH DUNGUN TERENGGANU.

(3) Taraf Pertubuhan : Lain-lain


FASAL 2 TEMPAT URUSAN
1. Alamat berdaftar dan tempat urusan pertubuhan ialah

SMK.TENGKU INTAN ZAHARAH
23000 DUNGUN TERENGGANU

dan alamat untuk surat-menyurat adalah

SMK.TENGKU INTAN ZAHARAH
23000 DUNGUN TERENGGANU

atau di tempat lain atau tempat-tempat yang akan ditetapkan dari semasa ke semasa oleh Jawatankuasa;

2. Tempat urusan berdaftar dan alamat surat menyurat Pertubuhan tidak boleh diubah tanpa kebenaran Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.

 
FASAL 3 TUJUAN/MATLAMAT
3.1. Memupuk semangat muhibah, persaudaraan dan bekerjasama di kalangan bekas pelajar dan staf Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Intan Zaharah, Dungun.

3.2. Memastikan kesinambungan hubungan silaturahim di kalangan ahli dan warga sekolah.

3.3. Memberi nasihat, bimbingan dan bantuan kebajikan kepada pelajar sekolah.

3.4. Memelihara dan meningkatkan imej sekolah pada kacamata masyarakat di dalam segala bidang.

3.5. Merancang dan mengatur aktiviti-aktiviti bagi mencapai objektif Persatuan dan juga aktiviti bagi menambah sumber kewangan persatuan.

3.6. Melaksanakan kegiatan yang berfaedah dalam bidang agensi agama, pendidikan, ekonomi, kebudayaan, dan rekreasi untuk kesejahteraan ahli dan masyarakat.

3.7. Untuk memiliki harta Alih dan Tak Alih bagi tujuan persatuan.

3.8. Semua warga dan keuntungan yang didapati oleh persatuan ini hasil dari penyertaannya dalam mana-mana perniagaan atau pelaburan akan digunakan semata-mata untuk melanjutkan, memajukan dan menjalankan tujuan-tujuan persatuan ini, dan tidak sebahagian pun daripada wang atau keuntungan itu akan digunakan untuk membawa faedah, keuntungan atau bonus kepada sebarang ahli pertubuhan, sungguhpun begitu, peruntukkan ini tidak menghalang sebarang pembayaran yang dibuat dengan tujuan baik, untuk membayar gaji atau perbelanjaan atau kedua- duanya kepada sebarang ahli atau persatuan ini.

 
FASAL 4 KEAHLIAN
4.1. Ahli Biasa

Terbuka kepada semua bekas pelajar dan staf Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Intan Zaharah, Dungun, Terengganu yang pernah menuntut atau berkhidmat dan berdaftar di sekolah.

4.2. Ahli Bersekutu

Terbuka kepada suami atau isteri kepada ahli biasa

4.3. Ahli Seumur Hidup

Ahli biasa layak memohon menjadi ahli seumur hidup dengan syarat mereka menjelaskan sejumlah yuran yang ditetapkan.

4.4. Ahli Kehormat

Dilantik di kalangan orang yang banyak berjasa kepada persatuan dan atau mengikut pandangan dan keputusan jawatankuasa.

4.5 Setiap kategori ahli mempunyai batas-batas hak tertentu di dalam persatuan seperti berikut:
4.5.1 Ahli Biasa Berhak mengundi, diundi, dan bersuara semasa Mesyuarat Agung dan berhak menggunakan segala kemudahan yang disediakan oleh persatuan dari semasa ke semasa

4.5.2 Ahli Bersekutu Berhak menggunakan kemudahan persatuan, menyertai aktiviti persatuan tetapi tiada hak untuk mengundi, diundi dan memegang sebarang jawatan dalam persatuan.

4.5.3 Ahli Seumur Hidup Mempunyai hak penuh seperti Ahli Biasa seperti Fasal 4.5.1

4.5.4 Ahli Kehormat Mempunyai hak yang sama seperti Ahli Bersekutu yang termaktub di bawah Fasal 4.5.2
4.6   Cara-cara memohon menjadi Ahli Persatuan adalah seperti berikut:
4.6.1 Permohonan menjadi ahli hendaklah dicadangkan dan disokong oleh dua orang ahli dengan mengemukakan borang khas atau melalui internet dan dihantar kepada setiausaha yang dikehendaki mengemukakan permohonan itu dengan secepat mungkin kepada jawatankuasa untuk diluluskan. Jawatankuasa boleh mengikut budibicaranya menolak sebarang permohonan tanpa memberi sebab-sebabnya.

4.6.2 Tiap-tiap pemohon yang permohonannya telah diluluskan seperti tersebut dalam fasal 4.6.1, hendaklah setelah membayar bayaran masuk dan yuran tahun pertama atau yuran keahlian seumur hidup seperti yang ditetapkan diterima menjadi ahli persatuan dan berhaklah ia sebagai ahli.

4.6.3 Seorang pelajar Universiti atau Kolej-Universiti tidak boleh diterima menjadi ahli persatuan ini kecuali ia telah dibenarkan terlebih dahulu secara bertulis oleh Naib Canselor Universiti yang berkenaan.
FASAL 5 PERBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI

5.1 Tertakluk kepada pengesahan Jawatankuasa, seseorang ahli akan gugur keahliannya dengan sebab-sebab berikut:
5.1.1 Kematian.

5.1.2 Berhenti dengan notis bertulis dua minggu terlebih dahulu kepada Setiausaha Agung dan menjelaskan segala hutangnya.

5.1.3 Disabitkan kesalahan jenayah oleh mahkamah.

5.1.4 Tindak-tanduk yang mencemar dan menjatuhkan nama baik Persatuan dan Ahli-ahli yang lain atau seumpamanya.

5.1.5 Melanggar Perlembagaan Persatuan.

5.1.6 Bagi ahli yang sabit dengan kesalahan bagi fasal 9.4 dan 9.5 boleh juga cuma digantung keahliannya bagi suatu tempoh sebagaimana yang difikir munasabah oleh Jawatankuasa. Sebelum jawatankuasa memecat atau menggantung ahli tersebut,ahli itu hendaklah diberitahu akan sebab- sebab bagi pemecatan atau penggantungannya secara bertulis. Ahli tersebut juga hendaklah diberi peluang untuk memberi penjelasan dan membela dirinya. Pemecatan atau penggantungan itu hendaklah dilaksanakan melainkan mesyuarat agung menunda atau membatalkan keputusan itu atas rayuan oleh ahli tersebut.

FASAL 6 SUMBER KEWANGAN

6.1 Bayaran masuk dan yuran yang perlu dijelaskan adalah seperti berikut:
6.1.1 Yuran masuk yang ditetapkan pada kadar RM10.00

6.1.2 Yuran tahunan sebanyak RM10.00 setahun untuk Ahli Biasa dan Ahli Bersekutu

6.1.3 Yuran RM100.00 untuk Ahli Seumur Hidup

6.2 Yuran tahunan hendaklah dijelaskan kepada Bendahari sebelum bulan Jun setiap tahun. Yuran yang dinyatakan di dalam Fasal 6.1.1, 6.1.2, dan 6.1.3 hendaklah dijelaskan kepada Bendahari Kehormat seperti berikut:
6.2.1 Tunai.

6.2.2 Secara online.

6.2.3 “Money Order” (M.O) atau “Postal Order” (P.0), “Bank Draft” (B.D) atau cek persendirian Berpalang atas nama “Bendahari Alumni IZ”
6.3 Ahli yang membiarkan hutang yurannya lebih daripada dua tahun akan menerima surat peringatan yang ditandatangani oleh atau wakil setiausaha dan hilanglah hak-hak keistimewaannya sebagai ahli sehingga hutangnya telah dijelaskan.

6.4 Ahli yang membiarkan hutangnya sebanyak lebih daripada jumlah yuran bagi tiga tahun dengan sendirinya terhenti daripada menjadi ahli Persatuan dan Jawatankuasa boleh memerintahkan supaya tindakan yang sah diambil terhadapnya dengan syarat mereka berpuashati yang ahli itu menerima kenyataan berkenaan hutangnya terlebih dahulu.

6.5 Jawatankuasa mempunyai kuasa menetapkan yuran masuk semula bagi sesiapa yang telah membiarkan keahliannya terlucut disebabkan hutang.




 
FASAL 7 MESYUARAT AGUNG

7.1. Mesyuarat Agung merupakan kuasa eksekutif Persatuan yang tertinggi sekali.

7.2. Mesyuarat Agung akan diadakan dua tahun (dwitahun) sekali secepat mungkin selepas tahun kewangan berakhir (31hb Disember) tetapi tidak lewat daripada bulan Mac.

7.3. Notis, agenda dan penyata kira-kira tahunan yang telah diaudit akan diedar secara bertulis oleh Setiausaha Agung kepada semua Ahli sekurang-kurangnya empat belas (14) hari sebelum Mesyuarat Agung diadakan.

7.4. Korum bagi mencukupkan bilangan bagi membolehkan mesyuarat Agung bersidang ialah satu perdua (1/2) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi atau dua (2) kali ganda Ahli Jawatankuasa (mengikut mana yang rendah). Kehadiran boleh dilakukan sendiri oleh Ahli atau secara proksi bertulis. Seseorang ahli yang hadir tidak boleh menjadi proksi kepada lebih dari seorang Ahli yang tidak hadir.

7.5. Sekiranya keadaan tidak cukup korum berlaku, Mesyuarat Agung hendaklah ditundakan kepada tarikh tidak kurang empat belas (14) hari daripada tarikh asal mesyuarat.

7.6. Kuasa Mesyuarat Agung adalah seperti berikut:
7.6.1 Menimbang dan merancang program-program masa depan persatuan 7.6.2 Membincangkan dan memutuskan perkara-perkara am bersangkutan dengan persatuan.

7.6.3 Menubuhkan satu tabung atau projek untuk faedah persatuan.
7.7. Panduan susunan agenda Mesyuarat Agung Dwitahunan adalah seperti berikut:
7.7.1 Ucapan dasar Presiden.

7.7.2 Mengesahkan penyata Mesyuarat Agung Dwitahunan atau Mesyuarat Agung Luar Biasa.

7.7.3 Membentang dan mengesahkan laporan kemajuan dwitahunan persatuan

7.7.4 Membentang, menerima dan meluluskan penyata kewangan tahunan persatuan yang telah diaudit

7.7.5 Pindaan Perlembagaan Persatuan (jika ada)

7.7.6 Memilih Ahli Jawatankuasa tertinggi terdiri daripada:

7.7.6.1 Seorang Presiden

7.7.6.2 Seorang Timbalan Presiden

7.7.6.3 Sepuluh (10) orang Ahli Jawatnkuasa Biasa
7.7.7 Memilih dan melantik dua (2) orang pemeriksa kira-kira

7.7.8 Membincangkan dan mengutarakan usul-usul dan perkara-perkara berbangkit kepada Setiausaha Agung yang sampai sekurang- kurangnya tujuh (7) hari sebelum Mesyuarat Agung dijalankan.

7.7.9 Segala keputusan mesyuarat hendaklah berdasarkan undi majoriti yang berkaitan undang-undang di mana memerlukan undian sebanyak dua pertiga (2/3) ahli yang berhak mengundi (yang hadir).

7.8. Mesyuarat Agung Luar Biasa boleh dipanggil atas kehendak Jawatankuasa atau dengan permohonan bertulis oleh sekurang- kurangnya dua puluh (20) orang ahli yang berhak mengundi dengan menerangkan tujuan-tujuan dan sebab-sebab mengadakannya secara bertulis.

7.9. Mesyuarat Agung Luar Biasa hendaklah diadakan dalam masa tiga puluh (30) hari selepas menerima permintaan bertulis berkenaan mesyuarat tersebut.

7.10. Notis Mesyuarat Agung Luar Biasa hendaklah dihantar oleh Setiausaha Agung kepada ahli tidak kurang dari empat belas (14) hari sebelum mesyuarat diadakan. Notis juga mesti mengandungi perkara-perkara yang hendak dibincangkan.

7.11. Perkara-perkara yang tidak dimasukkan di dalam notis adalah tidak boleh dibincangkan

7.12. Korum Mesyuarat Agung Luar Biasa adalah sama dengan Mesyuarat Agung Tahunan. Jika tidak cukup korum, Presiden akan mengisytiharkan mesyuarat tersebut dibatalkan dan jika mesyuarat serupa hendak diadakan, kehendak Fasal-fasal 7.8, 7.9, 7.10 dan 7.11 hendaklah dipenuhi dan diulangi sepenuhnya


FASAL 8 JAWATANKUASA

8.1 Jawatankuasa yang dinamakan Pegawai Persatuan adalah kuasa eksekutif tertinggi sesudah Mesyuarat Agung. Jawatankuasa berkuasa menjalankan dasar-dasar dan melaksanakan rancangan-rancangan persatuan.

8.2 Ahli-ahli jawatankuasa adalah seperti berikut:
8.2.1 Seorang Penaung

8.2.2 Seorang Penasihat

8.2.3 Seorang Presiden

8.2.4 Seorang Timbalan Presiden

8.2.5 Seorang setiausaha Agung

8.2.6 Seorang Bendahari

8.2.7 Tiga belas (13) orang ahli jawatankuasa biasa
8.3. Nama-nama untuk jawatan-jawatan di atas ( kecuali Penaung, penasihat, Setiausaha Agung, Bendahari dan tiga (3) orang ahli jawatankuasa biasa ) hendaklah dicadangkan serta disokong dan pemilihan akan dijalankan dengan cara mengundi oleh ahli-ahli di dalam Mesyuarat Agung.

8.4. Setiausaha, bendahari dan tiga (3) orang ahli jawatankuasa biasa akan dilantik oleh presiden

8.5. Jawatankuasa akan memegang jawatan selama dua (2) tahun. Sebarang kekosongan jawatan sebelum Mesyuarat Agung Dwitahunan berikutnya akan diisi oleh mana-mana ahli yang dikira layak yang akan dilantik oleh jawatankuasa.

8.6. Bidang kuasa jawatankuasa adalah seperti berikut:
8.6.1 Mentadbir persatuan selaras dengan tujuan untuk mencapai objektif persatuan

8.6.2 Melaksanakan keputusan-keputusan mesyuarat agung dan tidak boleh mengambil keputusan yang bertentangan dengan keputusan mesyuarat agung.

8.6.3 Mentadbir urusan kewangan persatuan.

8.6.4 Melantik dan menetapkan dasar-dasar perkhidmatan bagi kakitangan pejabat persatuan.

8.6.5 Melantik penaung dan penasihat persatuan.

8.6.6 Memecat dan menggugurkan ahli dari senarai keahlian selaras dengan Fasal 9.

8.6.7 Melantik ahli persatuan untuk menjalankan tugas dalam bidang-bidang tertentu dari semasa ke semasa.

8.6.8 Menetapkan bayaran saguhati kepada Setiausaha Agung dan pihak-pihak yang difikirkan Perlu.

8.6.9 Mengesyorkan bagi meminda atau menambah peraturan yang sedia ada.

8.6.10 Mengundi bagi menggantung mana-mana ahli jawatankuasa yang 7 didapati pecah amanah (dua pertiga (2/3) undi ahli jawatankuasa yang hadir mesyuarat).

8.6.11 Menegur dan menasihat mengenai perkara-perkara yang mendatangkan kebaikan kepada persatuan sesuai dengan Perlembagaan Persatuan

8.6.12 Berkuasa memanggil Mesyuarat Agung Luar Biasa mengikut fasal

7.8, 7.9, 7.10, dan 7.11

8.6.13 Menetapkan institusi kewangan bagi menyimpan wang persatuan

8.6.14 Menjalankan apa-apa kegiatan yang tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persatuan
8.7. Semua pemegang jawatan persatuan dan tiap-tiap pegawai yang menjalankan tugas eksekutif dalam persatuan hendaklah terdiri daripada ahli dan berwarganegara Malaysia.


FASAL 9 KEWAJIPAN-KEWAJIPAN PEGAWAI

Dalam tempoh menyandang jawatannya, kewajipan-kewajipan pegawai persatuan adalah:

9.1 Presiden
9.1.1 Mempengerusikan semua mesyuarat agung dan mesyuarat jawatankuasa dan

bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat

9.1.2 Mempunyai undi pemutus

9.1.3 Menandatangani peringatan mesyuarat apabila telah diluluskan

9.1.4 Mengarahkan Setiausaha Agung memanggil mesyuarat

9.1.5 Melantik seorang Penolong Setiausaha agung dikalangan ahli Jawatankuasa Biasa
9.2 Timbalan Presiden
9.2.1 Menjalankan tugas-tugas Presiden semasa ketiadaan Presiden
9.3 Setiausaha Agung
9.3.1 Menjalankan tugas pentadbiran persatuan mengikut perlembagaan persatuan dan hendaklah melaksanakan ketetapan dan keputusan Mesyuarat

Agung dan Mesyuarat Jawatankuasa

9.3.2 Bertanggungjawab atas segala urusan surat menyurat sama ada perhubungan dalaman persatuan atau dengan pihak luar.

9.3.3 Menyimpan segala buku, dokumen, rekod dan surat-surat persatuan bagi memastikan kelicinan pentadbiran urusetia persatuan, menyimpan daftar ahli persatuan dan memanggil mesyuarat atas arahan Presiden dan menyelia serta mengemukakan minit mesyuarat

9.3.4 Hadir dalam semua mesyuarat dan membuat catatan mesyuarat

9.3.5 Dalam masa 28 hari dari tarikh Mesyuarat Agung Dwitahunan diadakan mengirimkan penyata tahunan Persatuan kepada Pendaftar Pertubuhan sebagaimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 14 (1) Akta Pertubuhan, 1996.
9.4 Bendahari Kehormat
9.4.1 Bertanggungjawab atas urusan Kewangan Persatuan, menyimpan buku keluar- masuk Kewangan Persatuan

9.4.2 Menandatangani semua cek Persatuan bersama-sama dengan Presiden atau Setiausaha

9.4.3 Hanya boleh menyimpan wang tunai Persatuan tidak melebihi RM500.00 (Ringgit Malaysia: Lima Ratus Sahaja) pada satu-satu masa dan selebihnya hendaklah disimpan di dalam bank atau institusi kewangan yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa

9.4.4 Membentang penyata Kewangan tahunan yang telah diaudit untuk disahkan oleh Mesyuarat Agung
9.5 Ahli Jawatankuasa Biasa
9.5.1 Membantu menjayakan kegiatan-kegiatan Persatuan seperti diarahkan oleh Jawatankuasa

FASAL 10 KEWANGAN

10.1 Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan berikut dalam perlembagaan ini wang Persatuan ini boleh digunakan untuk perkara yang berfaedah bagi menjalankan objektif-objektif Persatuan, termasuk belanja pentadbiran, bayaran gaji, biayaan dan perbelanjaan pegawai-pegawai dan kakitangan yang bergaji serta upah memeriksa kira-kira. Walau bagaimanapun, wang itu tidaklah boleh digunakan untuk membayar denda ahli yang telah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah.

10.2 Bendahari hanya boleh menyimpan wang tunai persatuan tidak melebihi RM500.00 (Ringgit Malaysia: Lima Ratus Sahaja) pada satu-satu masa dan selebihnya hendaklah disimpan di dalam bank atau institusi kewangan yang ditetapkan oleh jawatankuasa.

10.3 Perbelanjaan yang melebihi Rm2,000.00 (Ringgit Malaysia: Dua Ribu Sahaja) bagi satu-satu masa tidak boleh dibuat tanpa kebenaran Jawatankuasa dan perbelanjaan yang melebihi RM100,000.00 (Ringgit Malaysia: Seratus Ribu Sahaja) sebulan tidak boleh dilakukan tanpa sebarang kebenaran Mesyuarat Agung. Perbelanjaan yang kurang dari RM2,000.00 (Ringgit Malaysia: Dua Ribu Sahaja) boleh diluluskan oleh Presiden, Setiausaha Agung dan Bendahari Kehormat.

10.4 Akaun Bank Persatuan hendaklah dibuka atas nama Persatuan. Cek-cek yang dikeluarkan hendaklah mempunyai tandatangan-tandatangan Bendahari Kehormat dan Presiden atau Setiausaha Agung.

10.5 Tahun Kewangan Persatuan bermula pada 1 Januari dan berakhir pada 31 Disember tahun berikutnya. Penyata kewangan hendaklah dibuat selepas tamat tempoh tahun kewangan setiap tahun dan penyata tersebut hendaklah diaudit oleh Pemeriksa Kira-kira. Penyata Kira-kira yang telah diaudit hendaklah dibentangkan untuk diluluskan di Mesyuarat Agung Dwitahunan berikutnya.

10.6 Penyata darihal wang yang diterima dan dibelanjakan serta kunci kira-kira bagi setahun hendaklah disediakan oleh Bendahari dan diperiksa oleh Pemeriksa Kira- kira yang dilantik di bawah Fasal 12 perlembagaan ini dengan seberapa segera setelah tamatnya tahun kewangan. Penyata Kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan untuk diluluskan oleh Mesyuarat Agung Dwitahunan yang berikutnya dan salinannya hendaklah dibekalkan untuk makluman ahli di tempat urusan Persatuan.


FASAL 11 JURUAUDIT

11.1 Kira-kira Persatuan hendaklah diaudit oleh dua (2) orang Pemeriksa Kira-kira yang dilantik dalam Mesyuarat Agung Dwitahunan.

11.2 Satu salinan penyata kira-kira beserta dengan laporan Jawatankuasa hendaklah dihantar oleh Setiausaha Agung kepada semua ahli sekurang- kurangnya empat belas (14) hari sebelum tarikh Mesyuarat Agung dijalankan.


FASAL 12 PENTADBIR HARTA / PEMEGANG AMANAH

12.1 Tiga pegawai yang terdiri daripada pemegang-pemegang jawatan dan berusia lebih daripada 21 (dua puluh satu) tahun hendaklah dilantik didalam Mesyuarat Agung Dwitahunan bagi maksud seksyen 9(b) Akta Pertubuhan 1966.

12.2 Mereka hendaklah memegang jawatan mereka sehingga tempoh bagi mereka memegang jawatan berakhir di mesyuarat Agung Dwitahunan akan dating dan mereka layak untuk dipilih semula.

12.3 Pegawai-pegawai yang dilantik di bawah undang-undang ini hendaklah mengurus harta tetap Persatuan sebagaimana yang dikehendaki oleh mesyuarat Agung tetapi semua harta tetap Persatuan hendaklah didaftar atas nama Persatuan.

12.4 Mereka tidak boleh menjual, menarik balik atau menukar harta kepunyaan Persatuan dengan tidak ada persetujuan dan kuasa yang diberikan oleh Mesyuarat Agung.

12.5 Seorang pegawai yang diperakukan boleh dilucutkan daripada jawatannya oleh Mesyuarat Agung oleh sebab uzur kerana sakit, tidak siuman, tidak berada di dalam negeri atau kerana lain-lain sebab yang menyebabkan ia tidak boleh menjalankan tugasnya atau pekerjaannya tidak memuaskan. Jika berlaku kematian, letakkan jawatan atau pembuangan bagi seorang pegawai yang diperakukan sebelum Mesyuarat Agung Dwitahunan maka kekosongan itu bolehlah diperakukan dengan mematuhi Fasal 8.5.


FASAL 13 TAFSIRAN PERLEMBAGAAN PERTUBUHAN

13.1 Di antara berlangsungnya Mesyuarat Agung, Jawatankuasa boleh memberikan tafsiranmkepada perlembagaan ini dan Jawatankuasa, jika mustahak, boleh memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung di dalam undang-undang ini.

13.2 Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat dalam mesyuarat agung, keputusan Jawatankuasa adalah muktamad sehingga dirombak sebaliknya oleh Mesyuarat Agung.


FASAL 14 PENASIHAT / PENAUNG

14.1 Jawatankuasa boleh, jika difikirkan perlu, melantik orang-orang yang layak menjadi penasihat/penaung bagi pertubuhan ini dengan syarat orang yang dilantik itu menyatakan persetujuannya secara bertulis terlebih dahulu.


FASAL 15 LARANGAN

15.1. Sebarang bentuk perjudian seperti yang ditafsirkan dalam Akta Rumah Judi Terbuka, 1953 adalah dilarang di permis pertubuhan.

15.2. Pertubuhan atau ahli-ahlinya tidak harus cuba menghalang atau dengan apa cara juga mengganggu perniagaan atau harga barang-barang atau mengambil peranan di dalam gerakan kesatuan pekerja seperti definisi di dalam Akta Kesatuan Pekerja 1959.

15.3. Pertubuhan ini tidak boleh menjalankan loteri sama ada dikhaskan kepada ahli-
ahli atau tidak, atas nama Pertubuhan atau pegawai-pegawai atau Jawatankuasa atau ahli, tanpa kelulusan dari pihak berkuasa yang berkenaan.

15.4. "Faedah" seperti yang diterangkan di bawah Seksyen 2 Akta Pertubuhan 1966, tidaklah boleh diberikan oleh Pertubuhan kepada mana-mana ahlinya.

15.5. Semua wang dan keuntungan yang didapati oleh Pertubuhan ini hasil dari penyertaannya dalam kegiatan ekonomi hendaklah disalurkan kembali kepada pertubuhan bagi mencapai matlamat pertubuhan ini dan tidak boleh digunakan untuk membayar faedah, keuntungan atau bonus kepada mana-mana ahli Pertubuhan. Sungguhpun begitu peruntukan ini tidak menghalang sebarang pembayaran gaji atau perbelanjaan pentadbiran atau kedua-duanya kepada mana- mana ahli atau pekerja Pertubuhan.


FASAL 16 PINDAAN PERLEMBAGAAN

16.1 Pindaan kepada fasal-fasal atau tambahan fasal dalam perlembagaan dibuat oleh dua pertiga(2/3) daripada ahli-ahli yang berhak mengundi dan hadir dalam Mesyuarat Agung. Sebarang pindaan atau tambahan tersebut hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa dua puluh lapan (28) hari dari tarikh keputusan Mesyuarat Agung meluluskan perubahan atau pindaan tersebut. Perubahan atau pindaan tidak akan berkuatkuasa sehingga mendapat kelulusan daripada Pendaftar Pertubuhan.


FASAL 17 PEMBUBARAN

17.1 Persatuan tidak boleh dibubarkan melainkan dengan persetujuan tidak kurang daripada dua pertiga (2/3) daripada ahli-ahli yang berhak mengundi yang hadir di Mesyuarat Agung.

17.2 Sekiranya Persatuan dibubarkan mengikut cara yang tersebut di dalam Fasal 17.1

di atas,maka segala hutang dan tanggungan hendaklah dijelaskan. Baki wang dan nilai harta yang tinggal akan didermakan kepada sebarang badan kebajikan atau dilupuskan mengikut apa-apa cara yang dipersetujui oleh Mesyuarat Agung.

17.3 Kenyataan pembubaran Persatuan hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa empat belas (14) hari dari tarikh pembubaran Persatuan.


FASAL 18 BENDERA, LAMBANG DAN LENCANA


1. Bendera

-

Keterangan

-

2. Lambang 

 
Keterangan

BUNGA RAYA:

Melambangkan 5 prinsip rukun negara yang dipegang oleh ahli dan warna merah melambangkan kegagahan,jihad dan berjiwa berani.

WARNA BIRU:

Warna biru melambangkan keharmonian dan kesyukuran.

ALUMNI IZ:

Alumni IZ melambangkan gabungan yang utuh antara bekas pelajar,guru dan staf. Manakala warna kuning melambangkan kemajuan yang berkembang.

BULATAN KUNING KEHIJAUAN:

Melambangkan Globalisasi dan bersifat terbuka.

MOTTO:

Motto “Menjana Generasi Gemilang” bermaksud semua ahli menjurus kepada matlamat gemilang. Manakala warna putih melambangkan kesuciaan dan keikhlasan warga Alumni.

3. Lencana

-

Keterangan

-

No comments:

Powered by Blogger.